Membuka pondok Baba Ismail Sepanjang

Ketika berumur 31 tahun beliau telah pergi ke Mekah dan bermukim di sana selama 7 bulan. Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, Ismail membuka pondok di Kampung Kubang Ikan, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Sepanjang hinggalah ke hari ini.

Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelosok, dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima sebarang bayaran. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan.